ARTIKEL SEBELUM

23/12/15

Bagaimana Jika PAS Umum PKR Tiada Pengaruh Di Terengganu ? – Ustaz Saiful



Pesuruhjaya PAS Terengganu Ustaz Saiful Bahari Mamat bertanya apa perasaan PKR jika PAS negeri membuat pengumuman bahawa parti keadilan itu tidak mempunyai pengaruh di Negeri Terengganu.

Pertanyaan itu dilontarkan sebagai membidas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam yang mendakwa PAS tiada pengaruh di Sarawak.

“Kalau PAS Terengganu umum juga seperti ini, apa perasaan rakan tahaluf (PKR) ?,” soal Ustaz Saiful dalam Facebooknya hari ini.



pas-terengganu


Wan Azizah pada sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan Pakatan Harapan semalam mendakwa PAS tidak ada pengaruh di Sarawak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka Mac depan.

“Saya kira di Sarawak, PAS kurang presence (pengaruh).

“Presence (pengaruh) PAS di Sabah dan Sarawak tidak sama sebagaimana di Semenanjung,” katanya.

Wan Azizah berkata demikian ketika ditanya apakah PKR akan bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (PAN) dan PAS bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

Mengulas kenyataan itu, Ustaz Saiful berkata PAS bukan ditubuhkan sehari dua ini, tetapi telah ditubuhkan sejak 64 tahun lalu.

Berdasarkan faktor usia dan pengalaman, maka PAS juga ada sokongan di peringkat akar umbi di Sabah dan Sarawak.

“PAS ni bukan baharu tubuh kelmarin… Dah berpuluh tahun di persada Sabah dan Sarawak,”katanya lagi. - AIDCNews






Kenyataan Media Rasmi
Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak (BPPNS)
Bertarikh: 22 Disember 2015

PAS SENTIASA RELEVAN KEPADA SEMUA KAUM DAN AGAMA DI SARAWAK, AKAN BERTANDING DI 11 KERUSI DUN

1. PAS Sarawak memandang serius kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang dipetik akhbar sebagai berkata “PAS Kurang Sambutan, Tiada Kerusi Di Sarawak.” Kenyataan tidak demokratik dan tidak cermat ini sewajarnya tidak dikeluarkan, malah tidak menggambarkan realiti sambutan PAS Sarawak yang semakin mengukuh di Sarawak. Sebaliknya, PAS ingin menasihatkan PKR supaya lebih berwaspada dengan tindakan licik rakannya dalam Pakatan Harapan iaitu DAP yang baru-baru ini telah ‘mencuri’ beberapa bekas calon PKR dalam pilihanraya lepas dan mengisytiharkan mereka menyertai DAP. Bahkan DAP juga bercita-cita tinggi untuk merampas banyak kerusi yang ditandingi oleh PKR sebelum ini dengan mengisythiharkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 30 kerusi daripada 15 kerusi yang ditandingi DAP sebelum ini.

2. PAS Sarawak akan bertanding sekurang-kurangnya 11 kerusi DUN pada Pilihan Raya Sarawak yang akan datang termasuk beberapa kerusi bandar yang biasa ditandingi DAP. Perbincangan kerusi ini tidak tertakhluk kepada perbincangan dengan Pakatan Harapan kerana PAS bukan sebahagian gabungan tersebut. Apapun, PAS Sarawak sedia berunding dengan PKR sebagaimana keputusan PAS Pusat yang masih mengekalkan tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan PKR. Untuk rekod, pada Pilihan Raya Negeri yang lepas PAS telah bertanding di 5 kerusi DUN. Antara kerusi yang bakal ditandingi oleh PAS dalam Pilihanraya Negeri Ke-11 akan datang termasuklah Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang, Samariang, Jepak, Samalaju, Lambir, Senadin, Batu Kawa, Dudong dan beberapa kerusi lagi yang sedang dipertimbangkan.

3. PAS telah mengembangkan sayapnya ke Sarawak seawal tahun 1996 dan telah bertanding di Bumi Kenyalang ini sejak 2001. PAS kini aktif di 11 kawasan dan mempunyai sekitar 3,000 aktivis yang bersedia bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya negeri. Program-program PAS di bawah Projek Untukmu Sarawak (UMS) seperti program kebajikan, kemasyarakatan, dakwah dan pendidikan sentiasa digerakkan serta mendapat sambutan dari masyarakat tempatan. PAS di Sarawak digerakkan oleh majoriti anak tempatan. Tiada isu yang membabitkan PAS Parti Semenanjung kerana PAS adalah parti yang berasaskan perjuangan Islam untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Ini terbukti dengan wujudnya Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri dari mereka yang bukan beragama Islam dan memainkan peranan yang penting sebagai hubungan antara kaum dan agama di Sarawak.

4. Oleh itu, tidak benar sama sekali PAS di Sarawak tidak mendapat sambutan seperti yang dilaporkan oleh akhbar hari ini. Mungkin disebabkan PAS Sarawak kurang mengeluarkan isu yang kontroversi dan kurang mendapat liputan media massa maka kegiatan PAS bersama masyarakat kurang mendapat liputan. PAS Sarawak lebih memberi tumpuan terhadap isu yang membabitkan masalah rakyat serta melakukan aktiviti kebajikan bersama rakyat. PAS Sarawak juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada agensi kerajaan yang banyak membantu rakyat setelah masalah mereka dilaporkan di media massa.

5. PAS adalah Gerakan Islam yang memperjuangkan bukan sahaja agenda siasah (politik), tetapi turut memperjuangkan dakwah, tarbiyah, pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan. Dari segi pendidikan, PAS di Sarawak terus membina mercu tanda dengan kewujudan 28 Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), beberapa institusi pengajian Islam dan pusat-pusat aduan sosial. Pembangunan masyarakat melalui program-program tarbiyah dan aktiviti keagamaan juga terus berjalan. Dakwah serta islah berstrategi dan bersepadu untuk menarik orang Islam dan bukan Islam di seluruh negara termasuk di Sarawak untuk menyokong Islam yang diperjuangkan oleh PAS akan terus digarap. Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan kekal diperkasakan kerana Islam adalah penyelesaian untuk semua.

6. PAS akan terus menyusun dan merencana strategi serta sentiasa memperjuangkan isu-isu rakyat, nasional dan antarabangsa. Walaupun PAS Sarawak belum berjaya mendapat sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Sarawak yang lepas, ini bukan bermakna tiada sambutan terhadap PAS kerana rakyat masih memerlukan PAS untuk menyuarakan masalah mereka kepada pihak pemerintah. PAS Sarawak akan terus istiqamah hingga kemenangan dan terus membela nasib rakyat yang tertindas tanpa mengira bangsa dan agama.

7. In shaa Allah seluruh Pimpinan dan Ahli PAS akan terus turun padang ke Sarawak bagi membantu persiapan Pilihanraya dengan sasaran untuk menghantar ADUN Sulung PAS ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Dengan kerja keras dan kerjasama semua, in shaa Allah misi ini akan mampu direalisasikan dengan izin Allah.

"Untukmu Sarawak"
"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

Sekian, terima kasih.

HJ JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud